Alhamdulillah...Majlis ihtifal pada tahun ini dari segi pengamatan saya sebagai mereka yang tidak terlibat secara langsung boleh dikatakan berjaya dan berjalan dengan lancar. Pada tahun ini AJK majlis tersebut dipimpin oleh guru-guru. Keterlibatan dan paduan tenaga inilah yang menjadikan SMUK terus unggul dan unik.
Info tentang majlis tersebut sepatutnya diberitahu sebelum ianya berlangsung, tetapi di atas kelemahan admin sendiri, ia baru hendak diberitahu. Walaubagaimanapun, di bawah ini adalah sedikit laporan tentang tentatif majlis tersebut :
RABU (24 JUN 2009)
*Pertandingan Muhadhoroh Peringkat Sekolah
*Acara Sukan
*Malam Kesenian Islam
*Gerai jualan dan pameran
KHAMIS (25 JUN 2009)
*Pertandingan Muhadhoroh Peringkat Sekolah
*Majlis Perasmian oleh Tuan Haji Zuhdi (Pengarah Yayasan Islam Negeri Kedah)
*Persembahan Marhaban
*Forum Perdana
-Pengerusi : Saudara Ilyas bin Ahmad
-Ahli Panel : Dr. Jamnul Azhar
: Dr. Shukri bin Ahmad

PELAJAR LUAR NEGARA PERTAMA DI SMA AL-KHAIRIAH


Alhamdulillah baru-baru ini, saya berpeluang pulang ke SMUK bagi meninjau persiapan untuk Majlis Ihtifal SMUK 2009 sambil menunaikan hajat sahabat saya dari Terengganu yang ingin mengunjungi bumi Al-Khairiah. Sebaik sampai, kami berpeluang solat Asar berjemaah dengan penghuni-penghuni asrama SMUK di surau.

Selesai solat, saya tertanya-tanya siapa gerangan imam solat tadi. Seorang yang berperwatakan matang, sederhana dan jauh lebih tua daripada keseluruhan makmum yang kebanyakannya pelajar-pelajar tingkatan 1, 2 dan 3.

Akhirnya, saya berpeluang berborak dengannya. Rupanya beliau adalah pelajar luar negara pertama dalam sejarah SMUK. Namanya Mizal, berumur 25 tahun dan berasal dari kampung Champa, Kemboja. Mula berhijrah ke Malaysia pada tahun 2007 untuk belajar di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan. Sebelum mengenali SMUK, beliau terlebih dahulu bermusafir ke Pondok Derang di mana beliau telah bertemu dengan seorang ustaz yang memperkenalkannya kepada SMUK.

Ketika mula menapak kaki di Malaysia, beliau mengalami kesukaran memahami Bahasa Melayu. Akibatnya, beliau kurang menguasai pengajian yang diajar dalam Bahasa Melayu. Tapi sepanjang perbualan dengannya, saya dapati beliau sudah boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih padahal baru setahun setengah berada di sini.

Impian yang membawanya ke bumi Al-Khairiah adalah untuk menduduki STAM. Maka sempat juga saya berkongsi pengalaman peribadi ketika menduduki STAM dulu. Malah, saya dan sahabat turut mempromosikan UIAM kepada beliau jika berminat untuk menyambung pelajaran di mana-mana IPTA di Malaysia.

Memandangkan keadaan penghuni asrama putera yang memerlukan pembimbing dan seorang ketua yang boleh membawa qudwah hasanah kepada yang lain, saya memberi semangat kepada Mizal untuk cuba mengambil tanggungjawab untuk membimbing dan menunjuk ajar penghuni-penghuni lain yang jauh lebih muda daripadanya.

Semangat Mizal untuk menimba ilmu sehingga sanggup berjauhan dari keluarga dan kampung halaman sangat mengkagumkan. Malah beliau tidak janggal menghuni di asrama SMUK walaupun tiada seorang pun rakan penghuni yang sebaya dengannya. Menurutnya, beliau juga tidak menerima wang saku dari keluarganya di Kemboja.

Justeru, elok juga jika kita sebagai saudara seakidahnya meringankan tangan untuk menghulurkan seringgit dua buat belanja seharian Mizal jika berkesempatan bertemu dengannya. Atau kalau ada pakaian yang masih elok, tak salah saya rasa kalau disedekahkan kepadanya. Semoga bakti tersebut mampu sedikit sebanyak meringankan beban dan memotivasikan hamba fi sabilillah ini untuk berjaya dalam STAM kelak.

Sekian.

“SUMBANGAN DAN BAKTI ALUMNI DITAGIH”


Saya juga rasa terpanggil untuk mempromosikan Majlis Ihtifal SMA Al-Khariah yang akan diadakan pada tanggal 24-25 Jun ini. Satu sambutan ’mega’ untuk diraikan bersama oleh seluruh warga Al-Khairiah, alumni, sekolah-sekolah jemputan serta masyarakat sekeliling. Program tahunan dalam taqwim Al-Khairiah ini juga antara pendekatan yang diambil untuk mempromosikan pendidikan berteraskan Islam yang memperjuangkan kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Pengisian yang sudah menjadi tradisi dari tahun ke tahun sudah pasti sukaneka antara guru dan pelajar, pameran, demonstrasi, pertandingan muhadharah, malam kesenian Islam serta dua acara penting iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan SMUK dan Forum Agama.

Menjelang sambutan tersebut, pihak sekolah sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkan projek menambahluaskan surau SMUK untuk menampung lebih ramai pelajar-pelajarnya. Saya difahamkan oleh Penolong Kanan HEM SMUK bahawa struktur asal surau tersebut adalah hasil sumbangan Kerajaan Negeri pada tahun 2007 melalui satu projek bernilai RM100,000 tetapi hanya mampu menampung lebih 3 saf penuh lelaki dan 3 saf penuh perempuan atau keseluruhan jemaah lebih kurang 70-90 orang sahaja. Sangat tidak berbaloi. Ke mana dan bagaimana jumlah besar tersebut dibelanjakan boleh dipersoalkan. Apakah ada yang sanggup menelan ribuan RM secara haram dengan mengetepikan kepentingan dan kebajikan pelajar-pelajar sekolah agama ini. Peliknya, penambahan yang dibuat oleh pihak sekolah hampir TIGA (3) kali ganda panjang dari struktur asal itu, walaupun belum siap sepenuhnya, tetapi dianggarkan akan memerlukan belanja kurang dari RM100,000. Ruang yang lebih luas dengan harga yang lebih murah. Jimat dan tiada ketirisan wang berlaku.


Menurut Saudari Napisah Karimah Hj Ismail, Bendahari Persatuan Bekas Pelajar SMA Al-Khairiah, projek tersebut memerlukan jumlah keseluruhan RM90,000.00. Di samping itu, pihak sekolah juga sedang menambahbaik ruang tingkat bawah di bangunan 3 tingkat yang telah hampir 7 tahun terbengkalai dek kerana ketiadaan sumber kewangan. Tingkat bawah tersebut akan dijadikan asrama putera yang baru untuk menggantikan asrama sedia ada yang sangat uzur.


Justeru, dipendekkan cerita, saya mewakili AJK PERKASIH menyeru sumbangan daripada bekas-bekas pelajar SMUK yang berkemampuan untuk menyumbang sedikit bantuan kewangan kepada pihak SMUK bagi meringankan beban menanggung perbelanjaan projek tersebut. Apalah sangat nilai sumbangan RM50,100,200,500 jika nak dibandingkan dengan limpahan ilmu duniawi dan ukhrawi serta pelbagai hikmah dan pengalaman hidup yang kita telah perolehi bertahun-tahun daripada guru-guru di SMUK. Walaupun mampu, memang susah untuk kita keluarkan wang ringgit dan harta benda untuk sesuatu yang ganjaran atau balasannya tidak dapat diterima dan dilihat secara fizikal. Kita cenderung mencari alasan yang pelbagai. Marilah kita tepuk dada tanya diri sendiri, ”Nak atau Tidak? Sanggup atau Tidak?” Kalau jawapannya YA! anda pasti akan mencari seribu jalan dan cara untuk sampaikan sumbangan anda kepada yang memerlukan. Jika tidak mampu dengan wang ringgit, anda boleh membantu dengan menyebarkan berita ini atau mencari dana daripada mereka yang berkemampuan atau apa saja bentuk bantuan yang munasabah.

Sumbangan anda juga boleh disalurkan melalui Agro Bank di No. Akaun 1005-0610-0001-2441, atau dengan cek atas nama Surau Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Kuala Nerang dan dihantarkan kepada Pengetua SMA Al-Khairiah, Km.38, Jalan Empangan Pedu, 06300 Kuala Nerang, Kedah.

Anda juga boleh menghubungi pihak sekolah di talian 04-7866721 atau bercakap terus dengan Penolong Kanan HEM, Ustaz Mohd Rejab Saad 019-4059607 untuk maksud tersebut. Bagi anda yang memerlukan surat rasmi daripada pihak sekolah serta gambar-gambar surau tersebut, sila hubungi saya melalui email faaqirul_ilmiey@yahoo.com atau telefon 013-4552003/ 019-3852165 atau hubungi saudari Napisah Karimah binti Hj Ismail melalui email n_karimah820326@yahoo.com


Oleh: Mohd Lukman bin Hj. Mat Isa
Timbalan Pengerusi PERKASIH


Photobucket

PENGUNJUNG


SEJAK 23 SEPTEMBER 2009
Photobucket

MUTIARA KATA

PESANAN MAYA

KATEGORI

HARI INI

SEBARKAN

Persatuan Bekas Pelajar SMA Al-Khairiah

Sila Copy coding di bawah dan Paste di laman anda utk membuat pautan ke laman ini. Terima Kasih.

PAUTAN BERGAMBAR